Linda is Coming Back : Covergirl Bintang Popular Berita Harian (29/July/07) |
Tuesday, July 31, 2007 |
Linda buah hati VIP
Linda Nanuwil AF2Oleh Zubir Mohd Yunus Gosip kahwin pak menteri fitnah
TIDAK semestinya sesuatu yang cantik, indah perjalanan hidupnya. Meniti kehidupan anak seni ada kalanya dianggap terlalu kejam apabila diri sering dihambat kontroversi yang bukan ciptaannya. Senjata paling mujarab melawan kekejaman ialah menyepikan diri, mengharap suatu hari nanti kebenaran akan terbukti.
Itulah yang berlaku kepada Linda Nanuwil, pesona bintang AF2 yang suatu ketika dulu namanya menjadi sebutan, bukan sekadar wajahnya yang cantik semata, malah bakat menjadi sandaran. Pun begitu, kontroversi yang melanda, memaksa dia ‘menghilangkan diri’. Kini, Linda kembali merungkai 1001 pertanyaan.
Sepanjang tempoh ‘kehilangan’ Linda sebaik saja album sulungnya dilancarkan, pelbagai spekulasi dicipta. Pihak media pula sukar menjejakinya sehingga pihak pengurusan ketika itu, Maestro Talent & Management turut dipersalahkan.
Ada juga desas-desus yang menyebut, Linda ‘menghilangkan’ diri apabila dirinya jatuh sakit selepas terkena buatan orang. Linda khabarnya dilanda sakit tekak yang teruk sehingga dia tidak mampu lagi menyanyi dengan baik. Keadaan itu dikatakan berlarutan sehingga setahun.
Lebih parah, ada laporan media yang mendakwa Linda sudah berkahwin dengan VIP bertaraf Menteri. Cerita berkenaan menular di segenap pelusuk Sabah. Kononnya, ekoran perkahwinan itu, Linda mengucapkan selamat tinggal kepada dunia seni, lalu menumpukan perhatian kepada rumah tangga.
Sehubungan cerita negatif yang menular tanpa belas kasihan itu, Linda dikatakan merajuk dengan dunia hiburan. Linda terus ‘menghilangkan’ diri dan hanya baru-baru ini saja dia sedia bertemu Bintang Popular dan menceritakan segala-galanya.
“Sebenarnya Linda tak hilang ke mana-mana, tapi berehat dari sebarang aktiviti seni kerana masalah kesihatan. Ketika pelancaran album sulung di Sabah sedikit masa lalu, Linda sudah mengalami sakit tekak yang agak kronik sehingga setahun lebih Linda tak boleh menyanyi dengan baik.
“Justeru, Linda tak mampu menjayakan sebarang promosi album. Sekalipun tanpa promosi, Linda difahamkan, cetakan pertama album Jika Kau Kekasih, penjualannya menggalakkan,” kata Linda yang semakin kurus dan cantik.
Mengenai dakwaan, Linda kononnya terkena ‘guna-guna’ sehingga dia tidak boleh menyanyi, dia akui perkara itu adalah cerita dongeng! Tambahnya lagi, selepas mendapat rawatan moden dan amalan perubatan tradisional, penderitaan sakit tekak yang dialaminya beransur pulih.
“Gosip yang mengatakan Linda dah kahwin Menteri, itu tidak benar sama sekali! Sehingga kini Linda belum lagi berkahwin. Fitnah itu memang tersebar meluas di Sabah, tapi Linda anggap ia digunakan pihak berkenaan sebagai senjata untuk menjatuhkan nama dan maruah Linda sekeluarga.
“Pun begitu, Linda lawan igauan itu dari terus menghantui fikiran, kalau terus dilayan, buat sakit kepala saja. Namun, semua yang berlaku itu menjadikan Linda fobia untuk meneruskan perjuangan dalam dunia seni. Tapi, sampai bila Linda nak membiarkan minat dan bakat nyanyian berkubur begitu saja?
“Sudah tiba masanya Linda buat come back. Linda nak aktif menyanyi semula,” kata Linda yang kini mengikuti kelas vokal bimbingan Siti Hajar secara intensif antara satu hingga tiga bulan di Ampang, Selangor.
Satu lagi khabar gembira, sebaik menamatkan kelas vokalnya, Linda di bawah bimbingan komposer terkenal akan muncul bersama album terbarunya.
“Semuanya masih di peringkat perbincangan, jadi mengenai penghasilan album ini, Linda tak mampu bercerita panjang lebar,” katanya yang masih peramah, sama seperti mengenalinya dulu.
INFO: Linda
Linda atau nama penuhnya Norlinda Nanuwil, 23, dilahirkan pada 21 Mac 1984 dan berasal dari Ranau, Sabah. Bapanya, Nanuwil Galida adalah Ketua Kampung Tudangan, manakala ibunya ialah Jaunim Sulinging. Linda adalah anak ketujuh daripada lapan beradik.
Penganut agama Kristian Sidang Injil Borneo (SIB) ini mendapat pendidikan terakhirnya di Sekolah Menengah Kebangsaan Sanzac, Kota Kinabalu, Sabah. Selepas menamatkan persekolahannya, Linda sering menjayakan persembahan nyanyian di RTM Sabah dan Lembaga Kebudayaan Sabah.
Menyertai Akademi Fantasia 2 (AF2) pada 2004, sekali gus dinobatkan sebagai Naib Juara Konsert Akhir. Pernah mendapat jolokan pesona bintang daripada salah seorang pengkritik AF2 iaitu Datuk Yusof Haslam. Sebaik berakhir AF2, Linda sempat menjayakan pembikinan filem Gila-Gila Pengantin Popular.
Linda sempat menghasilkan album sulungnya, Jika Kau Kekasih. Album berkenaan dilancarkan bersama peminatnya di Kota Kinabalu, Sabah. Selepas kemunculan album itu, Linda tidak sempat menjayakan promosinya apabila dia terus ‘menghilangkan’ diri dari dunia seni.
Bintang AF2 yang paling banyak dilanda kontroversi. Antaranya dia dikatakan sudah berkahwin dan mempunyai anak, Brandon. Ternyata Brandon ialah anak saudaranya iaitu anak kepada abangnya yang sulung. Selain itu, isu Linda kononnya ditaja VIP sehingga mampu memandu kereta mewah adalah fitnah. |
posted by F!oNa @ 1:54 PM |
|
|