|
Badminton Seluruh England: Beregu Malaysia JUARA !! |
Monday, March 12, 2007 |
Kali terakhir menang pada 1982 menerusi Razif, Jalani
LONDON: Sejarah tercipta pada Kejohanan Badminton Seluruh England di National Indoor Arena, Birmingham, malam tadi apabila pasangan beregu muda negara Koo Kien Keat-Tan Boon Heong menamatkan penantian 25 tahun dengan menjuarai kejohanan paling berprestij itu.
Gandingan emas negara itu menjinakkan pasangan pilihan pertama yang juga juara dunia dari China, Cai Yun-Fu Haifeng dengan straight set bagi memberikan kemenangan 21-15 dan 21-18, selepas dua kali berturut-turut beregu negara sebelum ini mara ke final kejohanan yang menawarkan hadiah keseluruhan AS$200,000 (RM700,000) itu.
Kien Keat dan Boon Heong yang meraih AS$14,400 (RM50,400) menamatkan kemarau beregu selepas kali terakhir pasangan Malaysia, Razif-Jalani Sidek muncul juara pada 1982.
Mereka cuma mengambil masa 16 minit untuk menang selesa 21-15 pada set pertama dalam permainan pantas dengan kedua-dua pasangan saling mengejar mata pada awal permainan sehinggalah pasangan China itu mendahului 11-9.
Pasangan negara mengambil sedikit masa untuk berehat sambil mendapatkan panduan jurulatih, Rexy Mainaky sebelum kembali garang untuk mengutip lima mata berturut-turut menerusi pukulan padu dan hantaran mengelirukan lawan terutama di jaring.
Permainan seterusnya menampakkan penguasaan pasangan negara yang berterusan hingga tidak memberi ruang buat lawan mereka mendapatkan mata dengan kombinasi persefahaman mantap bagi mengelak dari melakukan kesilapan mudah.
Cai Yun-Fu Haifeng yang juga pasangan nombor satu dunia hanya sempat memungut lima mata sebelum pasangan negara menamatkan terus permainan untuk meletakkan sebelah kaki bagi memenangi kejuaraan kedua mereka dalam saingan awal Siri Super Dunia.
Permulaan set kedua memperlihatkan rentak persembahan pasangan negara yang juga pilihan ke-5/8 kejohanan semakin kemas, rentak sama dipertontonkan ketika memenangi pingat emas Sukan Asia di Doha Disember lalu menerusi kombinasi pertahanan kental serta serangan berbisa.
Kien Keat-Boon Heong hanya memberikan dua mata awal kepada lawan sebelum kembali mengejar dan mendahului 7-4 sebelum pasangan China itu tampak memperkemaskan permainan namun hanya berjaya mengutip dua mata sebelum tenggelam dalam aksi semakin bertenaga pasangan negara.
Kealpaan bagaimanapun hampir memusnahkan impian negara apabila Cai Yun-Fu Haifeng merapatkan mata pada kedudukan 17-17 namun mereka hanya berupaya memungut satu mata ketika menyaksikan pasangan negara melonjak kegembiraan dengan kemenangan 21-18 dalam tempoh 38 minit.
Ia adalah kemenangan kedua milik pasangan Kien Keat dan Boon Heong dalam Siri Super Dunia selepas muncul juara dalam kejohanan pertama di Terbuka Malaysia Januari lalu. |
posted by F!oNa @ 2:58 PM |
|
|
|
|